Rakyat Malaysia dipenjara 15 tahun terbabit dengan kumpulan pengganas di Somalia

0
41
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia
dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh mahkamah tentera Somalia kerana terbabit dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab.

Atase Akhbar Kedutaan Somalia di Malaysia Abdimajit M Osman ketika dihubungi Bernama berkata hukuman ke atas Ahmad Mustakim Abdul Hamid itu dibaca oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera, Kolonel Hassan Ali Nur Shuuto.

“Namun mengikut sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk membuat rayuan,” kata Abdimajit.

Semalam Bernama melaporkan perbicaraan Ahmad Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.

Ahmad Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.

“Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab. Kerajaan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.

“Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan. Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat.

“Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.

Abdimajit menambah, Ahmad Mustakim, 34, merupakan rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here