Rentas negeri akan dilaksanakan dengan penuh waspada

0
567
Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Keputusan membenarkan aktiviti merentas negeri yang dijangka diumumkan pada Oktober ini akan dibuat secara berhati-hati dan dipertimbangkan secara menyeluruh pada akhir Oktober ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, usaha kerajaan membawa negara ke fasa endemik akan dilaksanakan dengan memikirkan kelonggaran secara mendalam bagi memastikan pelaksanaannya dalam keadaan baik.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, kita sedang berusaha ke arah fasa endemik… fasa itu tentunya merangkumi keputusan untuk merentas negeri.

“Sekarang ini pun ada aktiviti-aktiviti tertentu yang kita izinkan mereka merentas negeri. Contohnya projek rintis gelembong pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap divaksinasi,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Media Parlimen di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, kelonggaran itu bagaimanapun diharap tidak akan membenarkan perjalanan secara besar-besaran daripada destinasi yang agak berisiko kerana bimbang penularan di kawasan yang tidak berisiko.

“Sebab itu kita agak berhati-hati dalam masa sama tidak boleh lari daripada keputusan untuk melihat fasa endemik pada hujung Oktober ini. Ketika itu insya-ALLAH kita boleh membuat keputusan berhubung soal rentas negeri,” katanya.

Menurutnya, akan ada sinar di hujung terowong, namun orang ramai diminta untuk memberikan masa kepada kerajaan dalam keputusan berkenaan.

“Kita bukan sahaja serius tapi juga bertanggungjawab untuk melakukannya dengan selamat ,” katanya.

Hishammuddin berkata, peralihan ke fasa endemik bergantung kepada perkembangan program vaksinasi dan pertimbangan bagi aktiviti rentas negeri juga merangkumi keupayaan fasiliti kesihatan bagi negeri-negeri terlibat.

“Ketika ini kebenaran merentas negeri hanya dibenarkan bagi perkara-perkara tertentu melibatkan individu yang telah lengkap divaksin termasuk pelaksanaan gelembung pelancongan di Langkawi, kebenaran bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa yang mahu melawat anak di bawah 18 tahun,” jelas beliau.

Larangan rentas negeri dilaksanakan sejak Mei ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here