
KUALA LUMPUR- Sehingga 30 Ogos lalu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM314 juta untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada nilai itu pecahan kategori perbelanjaan merangkumi empat perkara bagi kos pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Ia meliputi perbelanjaan sewaan dan utiliti, pembersihan dan sanitasi, perbelanjaan bagi perkakasan dan peralatan pakai habis serta kebajikan petugas PPV.
“Kerajaan telah mengimbangkan dua perkara penting iaitu sagu hati bagi sukarelawan dan petugas, kedua ialah memantapkan rangkaian integrasi data dan proses pemberian vaksin melalui PICK-19.
“Ketiga pula bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk menerima vaksin,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Adham berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Pandan) yang meminta kos program vaksinasi diterangkan secara terperinci.