Saya ada angsa bertelur emas untuk dikongsi – Coach Fadzil

0
156

CYBERJAYA – Pembangunan tadika montessori Islam, Brainy Bunch yang kini mempunyai lebih 100 cawangan di seluruh negara disifatkan kejayaan paling bernilai oleh pengasasnya, Mohd. Fadzil Hashim.

Tanpa meletakkan keuntungan mengatasi segalanya, Mohd. Fadzil melihat potensi yang tinggi pada perniagaan itu khususnya dalam memberi impak kepada perkembangan dan pembangunan Islam.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Brainy Bunch dan juga pengasas Kumpulan Malakat Eco, beliau menganggap perniagaan yang diasaskan sejak 11 tahun yang lalu itu sebagai ‘angsa bertelur emas’ yang menunggu masa untuk memberi pulangan lumayan.

Keyakinan itu katanya bersandarkan potensi dan rancangan ‘Exponential Growth’ institusi pendidikan itu yang akan dicapai dalam masa 10 tahun dan melalui pelancaran Pelaburan Unit Saham Amanah Brainy Bunch, baru-baru ini.

“Brainy Bunch adalah ‘anga bertelur emas’ kami. Jika dongeng itu benar, agak-agak ada tak yang sanggup berkongsi?

“Hari ini kami ingin berkongsikan angsa kami dengan menjemput tuan-tuan menghadiri taklimat pengembangan perniagaan di seluruh dunia kami melalui Webinar,” katanya dalam sesi Live Facebooknya hari ini.

Mohd. Fadzil Hashim

Mohd Fadzil yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pelan ‘Exponential Growth’ Brainy Bunch mensasarkan pengembangan 5,000 cawangan dengan bilangan 1 juta murid di peringkat global.

Usaha itu katanya telah dimulakan dengan pendaftaran cawangan di Amerika Syarikat yang telah diselesaikan, baru-baru ini.

“Insyallah kami sekarang di landasan yang betul. Pembukaan Brainy Bunch di Amerika Syarikat telah didaftarkan dan kita tunggu pula penyenaraian di NASDAQ,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, cita-cita dan wawasan yang mahu dicapai dalam 10 tahun itu bukan sesuatu yang mudah tetapi bukan juga sesuatu yang mustahil.

“Misalnya jenama sistem pendidikan seperti Kumon, kini mempunyai 4 juta pelajar di seluruh dunia dan boleh dikatakan tidak ada jenama setanding dengannya.

“Jadi dalam fikiran saya, jika Kumon boleh dapat 4 juta, tak kan saya tak boleh dapatkan 1 juta pelajar.

“Cuma dalam usaha ini saya tidak mungkin bergerak bersendirian, saya mahukan sokongan tuan-tuan,” katanya.

Justeru, beliau mengulangi seruan kepada orang ramai untuk merebut peluang menjadi ‘pemilik bersama’ Brainy Bunch melalui pembelian Saham Amanah Brainy Bunch yang ditawarkan pada harga RM5,000 seunit.

Mohd Fadzil berkata, tawaran pemilikan saham itu mensasarkan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM300 juta dengan keuntungan 10 kali ganda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here