‘Saya akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan’ – Muhyiddin

0
207
Tan Sri Muhyiddin Yassin.

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai satu amanah dalam usaha memulihkan semula negara daripada kesan wabak Covid-19.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada jemaah menteri, khususnya Perdana Menteri dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memperkenankan pelantikan tersebut.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

“Kepercayaan yang telah diberikan oleh kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.

“Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mengumumkan pelantikan itu berkata, keputusan itu dibuat jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September lalu.

Menurut beliau, pelantikan bekas Perdana Menteri kelapan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, fasa-fasa pemulihan yang digariskan itu termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.

“Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here