‘Saya maafkan semua’ – Ebit Lew

0
14021

Pendakwah bebas, Ebit Lew

CYBERJAYA – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew memaafkan semua pihak susulan kontroversi terbaharu yang dihadapinya sejak kebelakangan ini.

Menerusi coretan terbaharu di laman Facebook miliknya, beliau turut mendoakan supaya hidayah dan keampunan diberikan kepada umat manusia di seluruh dunia.

“Hargailah orang kita cintai kerana Allah. Hargai keluarga. Bidadariku, abang akan terus memegang tanganmu sehingga mendapat Redha Allah. Hidup hanya untuk Allah sayang.

“Redha Allah, kita tak hidup nak sukakan orang. Hanya untuk sukakan Allah. Maafkan semua orang. Doa keampunan, doa hidayah dan kebaikan rahmat buat lapan bilion manusia seluruh Alam.

“Kita tak datang dalam dunia, kita dihantar oleh Allah sebagai sebaik-baik umat. Sambung kerja Nabi SAW. Bawa Islam dan kasih sayang,” katanya hari ini.

Dalam coretan sama, Ebit turut meluahkan penghargaan kepada isterinya yang disifatkan sebagai bidadari sepanjang mereka ditemukan sebagai pasangan suami dan isteri.

“Bidadariku,baikkan Allah temukan kita. Dialah Allah yang temukan kita. Terima kasih Allah yang tak berhenti beri nikmat dalam hidup kita.

“Syukur pada Allah, tak tahu nak ucap bagaimana. Kasih sayang terbesar Allah beri Islam ini. Terima kasih ya Allah. Dialah Rab pemilik segala-galanya. Bahagia dihati bila kita bersyukur. Syukur hadir bila kita kenal tuhan. Kenal Allah,” tulisnya.

Sejak pulang dari misi kemanusiaan di Palestin, pelbagai kontroversi mula menghimpit pendakwah bebas itu termasuk ‘pertelingkahan’ beliau bersama seorang penyanyi rap terkenal tempatan dan seorang rakyat Malaysia yang menjadi wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Gaza, Palestin.

Lebih mengejutkan apabila beliau turut disiasat berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here