Sektor pelancongan Melaka mula dibuka kepada pelancong dalam negeri mulai esok

0
27
GAMBAR HIASAN

MELAKA – Sektor pelancongan Melaka akan dibuka kepada rakyat negeri itu bermula esok sempena peralihan ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, antara aktiviti dibenarkan ialah pelancongan dan kebudayaan dalam negeri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, hanya 50 peratus pelancong dibenarkan berada di dalam premis pelancongan, memakai pelitup muka, memastikan penjarakan fizikal dipatuhi dan sanitasi premis.

“Pembukaan sektor pelancongan ini hanya melibatkan produk pelancongan yang ada dalam senarai positif, manakala yang dalam senarai negatif seperti kelab hiburan dan hiburan malam tidak dibenarkan lagi,” kata Muhammad Jailani kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, antara produk pelancongan yang akan dibuka ialah zoo, ladang, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing, pusat ‘edutainment’, taman rekreasi, sukan ekstrem dan taman semula jadi.

Selain itu, katanya lagi, premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, Perkampungan Hang Tuah, galeri seni, pusat dan kampung seni warisan budaya dan pentas persembahan budaya, taman tema serta pusat hiburan keluarga turut dibenarkan beroperasi.

Muhammad Jailani kemudiannya menambah, pihaknya akan memantau perkembangan pembukaan sektor tersebut dari aspek peningkatan kes positif Covid-19 negeri itu dalam tempoh dua minggu akan datang, sebelum membuat pertimbangan membuka kepada pelancong luar Melaka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here