Semburan ‘nano mist’ boleh sebabkan alahan

0
75
Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati menggunakan semburan kabus nano (nano mist) untuk membasmi kuman dan mengekang penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semburan larutan disinfeksi untuk menyah kuman di permukaan persekitaran itu tidak sesuai digunakan secara langsung terhadap manusia.

Katanya, penggunaan bahan itu boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan kerana mengandungi alkohol sehingga 70 peratus hingga 90 peratus, hidrogen peroksida, timol, ammonia dan larutan berasaskan klorin.

“KKM ingin menegaskan, penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memandang berat isu berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan penyembur nano mist sebagai alat disinfeksi.

Jelas beliau, semburan nano mist adalah alat penyembur yang boleh menghasilkan titisan halus bersaiz nano yang dihasilkan untuk pelbagai tujuan.

Ini termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan.

Katanya, alat ini terdapat dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti spray gun, handheld spray sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.

“Ramai beranggapan penggunaan alat ini berupaya menghapuskan virus di udara (airborne) dan juga di permukaan.

“Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan penyembur nano mist untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan,” katanya.

Beliau berkata, KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan garis panduan untuk pendaftaran disinfektan permukaan yang boleh dicapai melalui laman web www.npra.gov.my.

Orang ramai juga dinasihat merujuk kepada kepada laporan penilaian terhadap pelbagai kaedah disinfeksi bagi pencegahan penularan Covid-19 menerui laman web covid-19.moh.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here