Sittah Annur dan pengikutnya akan dipanggil beri keterangan

0
149
Seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT), dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

KOTA BHARU – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan memanggil wanita dikenali Sittah Annur dan pengikutnya untuk mengetahui sama ada ajaran mereka menyeleweng atau tidak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya akan berbincang dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama (MKI) untuk tindakan selanjutnya terhadap ajaran yang dibawa.

“Tindakan lanjut terhadap ajaran terbabit tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri kerana ia adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Denda dan hukuman tidak sama untuk setiap negeri. Walau apa pun, kita tetap memandang serius perkara ini.

“Sekarang ini, soal keselamatan perlu diberi keutamaan dan mereka yang terbabit serta pengikutnya akan dikenakan tindakan bersesuaian mengikut bidang kuasa di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan IPTA Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Khidmat Ahli Dewan Rakyat (ADR) di Kampung Landak, Pengkalan Chepa hari ini.

Sebelum ini, seorang wanita berusia 39 tahun menggunakan gelaran Sittah Annur didakwa mula mengembangkan ajaran ‘Perjalanan Mimpi Yang Terakhir’ (PMYT), dipercayai bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti Facebook (FB), YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) setakat ini sedia maklum dengan gerakan ajaran itu menyerahkan kepada PDRM membuat siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here