SOP perjalanan rentas negeri, buka lebih banyak sektor diteliti tak lama lagi

0
216
Gambar fail

CYBERJAYA – Kerajaan sedang meneliti kelonggaran bagi membolehkan rakyat lebih bebas dalam norma baharu ketika negara sedang menuju ke fasa endemik.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perbincangan tersebut akan melibatkan tiga menteri lain.

Katanya, mereka ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

“Menuju endemik, kerajaan sedang teliti kelonggaran bagi membolehkan rakyat lebih bebas dalam norma baharu. Antaranya rentas negeri dan buka lebih banyak sektor.

“Saya sedang usahakan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dengan persetujuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusi Perdana Menteri, saya turut akan libatkan Khairy Jamaluddin, Tengku Zafrul dan Annuar Musa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua menteri berkenaan akan dijemput dalam masa terdekat untuk memulakan perbincangan seterusnya membuat keputusan bersama.

“Banyak faktor perlu diambil kira kerana ia libatkan soal kesihatan dan keselamatan.

“Sebab itu dalam menentukan kelonggaran ini, nyawa, kesihatan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat akan jadi pertimbangan utama.

“Sama-sama kita doakan semoga usaha ini dipermudahkan Allah SWT seterusnya membawa manfaat yang diharapkan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here