SPRM siasat dakwaan pemalsuan sijil vaksinasi tanpa suntikan

0
29
Azam Baki

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat dakwaan berlakunya ‘penjualan’ dan pemalsuan sijil vaksinasi Covid-19 melibatkan doktor seperti yang ditularkan di sosial media

. SPRM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang melakukan risikan di lokasi-lokasi yang disyaki dan didakwa berlakunya penyelewengan berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berlakunya rasuah melibatkan pengamal perubatan yang mengeluarkan sijil vaksinasi secara tidak sah.

“Perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Oleh itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my,” katanya kelmarin.

Sebelum ini, tular dakwaan di sosial media mengenai tindakan individu yang membayar sejumlah wang kepada pengamal perubatan untuk mendapatkan sijil vaksinasi tanpa perlu mengambil suntikan.

Pemalsuan sijil vaksinasi itu dibimbangi akan menjejaskan program vaksinasi Covid-19 negara yang sebelum ini ‘tercemar’ dengan sindiket penjualan slot vaksin pada harga mencecah RM380 bagi setiap dos.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here