Status sebagai pelarian lindungi suspek pengganas – PM New Zealand

0
43
Tujuh mangsa tercedera, dengan lima daripadanya akibat tikaman dalam insiden serangan ‘lone wolf’ di sebuah pasar raya di Auckland pada Jumaat lalu.

AUCKLAND – Pihak berkuasa New Zealand telah beberapa kali cuba untuk mendeportasi lelaki warga Sri Lanka yang ditembak mati pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Jacinda Ardern, status Ahamed Aathil sebagai pelarian menyebabkan dia ‘dilindungi undang-undang’.

Status sebagai pelarian juga menyebabkan identiti Ahamed Aathil tidak dapat dikenal pasti lebih awal sehingga ‘halangan undang-undang’ itu ditarik kembali oleh mahkamah.

Identiti pelarian termasuk status mereka dilindungi secara automatik oleh undang-undang negara itu, kata The Guardian.

Kata Ardern, pihak berkuasa mempunyai bukti kukuh Ahamed Aathil mahu melancarkan serangan, namun tidak boleh berbuat apa-apa kerana ‘merancang melakukan serangan’ bukan dianggap sebagai satu jenayah di negara itu.

Ahamed Aathil, yang tiba di negara itu pada Oktober 2011, mula menunjukkan kecenderungan menyokong keganasan pada 2016.

Pada Mei 2017, dia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland kerana dipercayai cuba menuju ke Syria.

Pihak berkuasa yang menggeledah kediamannya menemukan sebilah pisau berburu dan bahan propaganda ektrimis Daesh.

Ahamed Aathil kemudiannya dibebaskan, namun pada Ogos 2018, dia kembali ditahan setelah membeli sebilah pisau.

Pada Jumaat lalu, Ahamed Aathil melakukan serangan ‘lone wolf’ dengan sebilah pisau di sebuah pasar raya, menyebabkan tujuh individu tercedera.

Lima daripada mangsa tercedera akibat ditikam, dengan tiga mangsa berada dalam keadaan kritikal setakat semalam.

Pihak polis yang dikejarkan ke lokasi berjaya menembak mati Ahamed Aathil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here