Sultan Perak jalankan fungsi Agong sepanjang lawatan khas Al-Sultan Abdullah ke UK

0
94
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang keberangkatan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam lawatan khas ke United Kingdom bermula hari ini.

Perkara itu selaras dengan Perkara 33(1) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, seusai lawatan khas Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda berdua berkenan beristirehat di London bermula 27 September dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober.

“Sekembali ke tanah air kemudian, Seri Paduka Baginda berdua berkenan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” demikian menurut kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahmad Fadil berkata, sepanjang lawatan khas hingga 27 September itu, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square serta Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak di Brickendonbury, Hertford.

Atur cara lawatan khas tersebut turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst.

“Seri Paduka Baginda pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.

“Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan UK, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan UK.

“Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst,” kata Ahmad Fadil.

Jelas beliau, lawatan khas tersebut merupaka kali kedua bagi Seri Paduka Baginda ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here