Sultan Selangor dukacita lebih separuh ‘frontliner’ JAIS tolak divaksin

0
398

Salah seorang oetugas barisan hadapan JAIS yang menerima suntikan vaksin Covid-19 hari ini

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan kurang daripada separuh guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri ini yang hadir semasa sesi program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Menerusi satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, hanya 203 daripada 873 orang guru KAFA, AJK masjid dan jurunikah di negeri itu yang hadir semasa sesi program tersebut.

Lebih mendukacitakan baginda ialah apabila seramai 96 daripada 203 orang yang hadir menolak untuk divaksin.

“Apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” kata kenyataan itu.

Tegas baginda lagi, pelbagai inisiatif dan cara telah dilakukan termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas-petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.

Namun titah baginda, apa yang berlaku adalah amat mendukacitakan.

Sehubungan itu, baginda bertitah, kesemua nama kumpulan tersebut yang menolak untuk divaksin akan diambil tindakan kelak.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here