Sumbu badak bernilai RM30 juta dirampas di KLIA

0
220

SEPANG – Sebanyak 50 batang sumbu badak dianggarkan bernilai RM30 juta dirasmpas oleh Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dalam operasi bersepadu Zon Tengah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dalam serbuan hasil risikan berterusan unit khas Perhilitan pada 9 September lalu, pihak berkuasa itu berjaya menahan dua orang suspek atas kesalahan penyeludupan hidupan liar.

“Dua orang suspek warga tempatan ditahan pada 9 September di bulatan Masjid KLIA kerana melakukan jenayah melibatkan penyeludupan hidupan liar.

“Turut dirampas adalah sebuah lori dan dokumen berkaitan penyeludupan sumbu badak,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Berikutan tangkapan itu, kesemua bahan rampasan akan dihantar ke makmal forensik Perhilitan untuk menjalani analisis asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti dari mana haiwan itu diseludup.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, dalam tempoh sedekad kebelakangan ini, pihaknya merekodkan lima kes berkaitan kegiatan penyeludupan melibatkan 96 batang sumbu badak.

“Spesies badak dan bahagiannya adalah dilindungi dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). Ia juga disenaraikan dalam apendik I Akta Perdagangan Antarabangsa iaitu spesies ini tidak boleh diperdagangkan,” ujarnya.

Sehubungan itu, semua suspek disiasat di bawah Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman denda mencecah RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here