Tauke sabun Dolive dulu pernah hidup merempat, kini diusia 30 tahun sudah miliki kilang sendiri

0
897
Nurul Hassrah Mohd. Khori di samping suamnya Mohd. Hafiz Arbaee kini mampu berbangga dengan usaha keras mereka mengeluarkan sabun jenama sendiri

BAK kata pepatah yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang, begitulah juga kejayaan setiap usahawan atau jutawan terkenal bukannya diperoleh dengan jalan mudah sebaliknya pelbagai dugaan dihadapi sebelum berjaya.

Malah, tak kurang juga ada antara mereka yang pernah ‘jatuh terduduk’ dan terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan sebelum berjaya dan dikenali.

Begitu juga kisah perjalanan seorang wanita muda berasal dari Pulau Pinang, Nurul Hassrah Mohd. Khori yang kini mampu tersenyum lebar selepas penat lelahnya bertahun-tahun mula mendapat hasil apabila sabun jenama miliknya sendiri kini mula dikenali.

Bukan Mudah Untuk Berjaya

Menceritakan semula kisah perjalanan hidupnya, Nurul Hassrah yang lebih mesra disapa sebagai Nurul berkata, semuanya bermula selepas dia mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Mohd. Hafiz Arbaee kira-kira 10 tahun lalu.

Ketika itu, katanya, suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan dia sendiri membantu sebagai kelindan lori untuk menghantar barang yang diambil dari sebuah gudang dan kemudiannya dihantar ke-45 kedai.

Nurul berkata, setiap hari mereka berdua akan keluar rumah seawal pukul 4.30 pagi dan pulang hingga ke lewat tengah malam untuk mencari rezeki dan upah yang diperoleh adalah hasil komisen mengikut jumlah berat yang kebiasaannya sekadar RM50 hingga RM100 sehari.

Nurul ketika di awal penglibatan sebagai ejen sabun

“Selama dua tahun kami bekerja bersama sebagai pemandu dan kelindan lori, sepanjang tempoh itu bermacam-macam pengalaman yang kami kutip. Malah saya sendiri pernah tidur dalam kontena, kenderaan dan menumpag tidur di rumah saudara akibat kesempitan hidup.

“Tetapi bukan mudah untuk meminta tolong daripada saudara sendiri yang hanya membenarkan kami menumpang tidur sehari sehingga jam 5 pagi sahaja. Mujur selepas itu kami mendapat bantuan untuk menumpang tinggal di sebuah rumah yang dihuni bersama 13 orang Indonesia.

“Ketika itu tiada apa yang kami ada, wang pun semakin habis, jadi kami hanya tidur beralaskan tikar yoga yang kami kutip tanpa sebiji bantal sekalipun,” ujar Nurul, 30, ketika memulakan sesi temubual yang diadakan secara maya baru-baru ini.

Ujar Nurul, mereka berdua melangsungkan perkahwinan dalam usia muda iaitu ketika umurnya baru mencecah 20 tahun.

Selepas disahkan mengandung, dia dan suami mula menanam tekad untuk keluar dari belenggu kemiskinan dan mengubah nasib hidup mereka sekeluarga dengan mencuba cabaran baharu.

Tanpa menoleh ke belakang lagi, dengan berbekalkan modal sebanyak RM400, Nurul berkata, dia dan suami mencuba pekerjaan baharu sebagai ejen jualan sabun.

Walaupun perniagaan yang dijalankan itu bermula di pasar tani, Nurul berkata, jualan yang diperolehnya sangat menggalakkan, sehingga mereka mendapat tawaran untuk masuk ke pasaraya terkenal, Mydin.

“Selepas sembilan tahun menjadi pengedar jenama sabun berkenaan dan mendapat pelbagai pengalaman serta selok belok perniagaan, saya dan suami kemudiannya mengundur diri dan membuat perancangan sendiri membina syarikat baharu yang dinamakan Fresh Expert Sdn. Bhd. (Fresh Expert) pada tahun 2018.

“Untuk mendapatkan formula terbaik bagi menghasilkan sabun jenama sendiri, puas kami merantau sehinggalah ditemukan dengan seorang yang menepati kehendak kami.

“Melalui hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan selama lebih kurang setahun, terciptalah formula yang diidamkan dan lahirlah sebuah produk sabun jenama sendiri, ’Dolive’,” sambung Nurul.

Sabun jenama Dolive yang diedarkan oleh ejen syarikat mereka

Selama sembilan tahun menjadi pengedar membolehkan mereka berdua meraih pelbagai pengalaman menarik dalam industri tersebut daripada aspek pemasaran, pengurusan kewangan dan kualiti produk serta perkhidmatan pelanggan yang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Dolive Dapat Pengesahan Halal Jakim

Memilih nama Dolive untuk produk sabun itu, ramai yang menyangka ia dimiliki oleh bukan Islam tetapi ia sebenarnya dimiliki 100 peratus perniagaan Muslim Bumiputera dan dijamin halal selepas mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Secara ringkasnya, Dolive merupakan hasil campuran dua perkataan Inggeris, ‘Do’ dan ‘Live’ yang secara membawa maksud ‘keterusan hidup.

Dari situ, Nurul mendapat idea bagi membantu lebih ramai usahawan untuk turut berjaya dengan menggunakan formula pemasaran menggunakan konsep ejen jualan.

“Kami menyasarkan jualan mencecah RM8 juta menjelang akhir tahun ini, strategi juga sedang dirancang untuk menambah lebih ramai pengedar kepada 3,000 orang pada masa depan dan juga 30 master leader di seluruh pasaran domestik dan di negara jiran.

“Buat masa ini, syarikat memiliki kira-kira 1,000 ejen dan mahu menawarkan peluang perniagaan yang berpotensi kepada mereka yang terjejas pendapatan dan kewangan ekoran pandemik Covid-19.

Nurul Hassrah dan Mohd. Hafiz Arbaee bersama pekerja Dolive di hadapan kilang milik mereka di Seri Kembangan, Selangor

“Kami mahu membantu usahawan dengan memberikan tunjuk ajar dengan penyediaan bahan pemasaran setiap hari kepada mereka secara online,” ujarnya.

Tambah Nurul, pihaknya menawarkan kos serendah RM250 untuk menjadi ejen jualan tahap satu.

Katanya, ejen berkenaan akan dibekalkan dengan 10 jenis sabun sebagai permulaan termasuk tawaran khidmat bimbingan mentoring agar tidak ketinggalan daripada petunjuk prestasi utama (KPI) syarikat.

“Di Dolive kami seperti sebuah keluarga besar apabila kami boleh berkongsi pendapat dan idea bersama wakil jualan serta kami juga boleh mendekati satu sama lain tanpa mengira harta, pangkat dan darjat kerana matlamat kami adalah untuk melihat mereka juga berjaya seperti kami,” jelasnya.

Covid-19 Membuka Lebih Banyak Pintu Rezeki

Sementara itu, ditanya mengenai impak pandemik kepada operasi syarikat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, Nurul berkata, norma baharu masyarakat membeli-belah secara online memberi rezeki melimpah ruah buat syarikat kerana jualan terus melonjak kepada empat juta botol sehingga kini.

Pada masa sama, katanya, disebabkan pandemik itu juga mencetuskan idea untuk syarikatnya mengeluarkan sanitizer atau sabun pencuci tangan.

Nurul berkata, hasil daripada itu menyebabkan jualan sabun mereka meningkat naik dan jumlah ejen serta stokis juga bertambah di seluruh negara.

Untuk perancangan masa hadapan, Nurul berkata, pihaknya bercadang untuk meluaskan lagi pasaran sabun Dolive termasuk memasuki pasaran negara jiran seperti Singapura dan Brunei.

Selain itu, Nurul menambah, mereka juga bercadang untuk memasuki pasar raya tetapi dengan menawarkan bungkusan berbeza daripada produk dijual oleh ejen dan stokis.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here