Tawaran berniaga tanpa sewa di Bazar @Malakat Mall

0
411
Penganjuran Bazar @Malakat Mall pada musim lalu.

CYBERJAYA – Kumpulan Malakat Eco meneruskan program Bazar @Malakat Mall yang menawarkan ruang perniagaan percuma kepada golongan peniaga dan vendor di pusat beli-belah di Cyberjaya itu.

Bazar yang bermula sejak Sabtu lalu itu menawarkan ruang perniagaan di beberapa aras bangunan Malakat Mall yang dikategorikan mengikut tema dan jenis perniagaan.

Waktu operasi bazar dibuka setiap hari bermula dari pukul 10 pagi sehingga 8 malam.

Pengurus Acara Malakat Mall, Siti Azielah Wahi berkata, seperti penganjuran program yang sama pada tahun lalu, acara bazar kali ini masih menawarkan tapak perniagaan tanpa sewa.

Kemudahan itu katanya bertujuan memberi peluang kepada peniaga dan orang ramai yang baharu memulakan perniagaan untuk berniaga di pusat beli belah itu.

“Setakat ini terma kepada peniaga masih tidak berubah. Kami hanya mengenakan syarat perkongsian keuntungan sebanyak 10 peratus sahaja.

“Peserta akan disediakan ruang perniagaan yang mencukupi, kelengkapan asas seperti kerusi dan meja tanpa perlu memikirkan komitmen lain yang membebankan,” katanya ketika dihubungi Malakat Tribune hari ini.

Kumpulan Malakat Eco sejak tahun lalu menganjurkan program Bazar @Malakat Mall yang menawarkan peluang kepada ratusan peniaga khususnya penjual pakaian, kraftangan, buku, kelengkapan sekolah, makanan dan sebagainya.

Penganjuran itu mendapat sambutan hangat daripada orang ramai termasuk dalam kalangan kakitangan Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditamatkan perkhidmatan tahun lalu.

Penganjuran Bazar @Malakat Mall pada musim lalu.

Program itu bagaimanapun terhenti selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Azielah, tawaran penyertaan kini masih dibuka dan sambutan dijangka meningkat berikutan penganjuran satu lagi acara utama di Malakat Mall iaitu Malakat Food Street yang akan bermula hujung minggu ini.

“Selain tawaran bazar kepada peniaga ‘barang kering’ kami akan memulakan satu lagi bazar iaitu Malakat Food Street yang dibuka setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 12 tengahari hingga 8 malam,” katanya.

Justeru katanya, bagi kedua-dua acara itu, Kumpulan Malakat Eco mengalu-alukan penyertaan daripada peserta acara terdahulu.

“Kita juga berharap orang ramai akan dapat sama-sama menyokong dan menghebahkan acara ini khususnya untuk manfaat kepada peniaga-peniaga kecil,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat mengenai penganjuran Bazar @Malakat Mall boleh menghubungi talian 017-3975539 (Miss Lala) atau 012-396 5312 Ziela.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here