Tiada lagi kelibat Mak Cik Saadiah berbasikal hantar makanan ke balai polis

0
299
Menjadi rutin bagi allahyarham Saadiah menghantar makanan ke IPD Gerik bagi mengenang allahyarham suaminya yang meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai itu. – GAMBAR http://glimpse4glee.blogspot.com/2010/02/lagenda-cinta.html

GERIK – Setelah 37 tahun, tiada lagi kelibat Mak Cik Saadiah menghantar makanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, setelah dia dilaporkan meninggal dunia, semalam.

Menurut Harian Metro, perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh anak bongsunya, Wan Jelani Alias, hari ini.

Wan Jelani berkata, biarpun bersedih, timbul sedikit perasaan berbesar hati apabila allahyarham meninggal dunia dalam keadaan rakyat Malaysia masih menyambut Hari Kebangsaan.

“Pada kami, emak juga seorang wira kerana walaupun keadaan usia dia sebegitu namun tetap sanggup kayuh basikal sejauh lima kilometer untuk menghantar makanan kepada anggota polis selepas kematian ayah.

“Sepanjang hayatnya, emak tidak pernah melupakan pengorbanan dan sejarah perjuangan arwah ayah. Dia adalah perwira sebenar di hati kami,” kata Wan Jelani kepada Harian Metro.

Menjadi rutin bagi Saadiah Abdullah, 84, yang juga balu seorang anggota polis menghantar makanan ke IPD Gerik bagi mengenang allahyarham suaminya, Alias Nik Daud yang meninggal dunia pada 1975 dalam serangan hendap pengganas komunis sewaktu bertugas sebagai jurupandu bot di balai itu.

Tambah Wan Jelani, ibunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik pada pukul 12.40 tengah hari semalam selepas beberapa hari dimasukkan ke wad akibat sakit tua.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Kuala Kenderong, Gerik jam 5.30 petang semalam.

Semangat Mak Cik Saadiah turut menjadi inspirasi kepada sebuah iklan berjudul ‘Mangkuk Tingkat Mak Teh’ yang dihasilkan oleh minyak masak Saji dan disiarkan di media elektronik pada musim Hari Raya Aidilfitri lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here