Tindakan tatatertib tunggu penjawat awam yang tolak divaksin

0
148
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin sebelum 1 November ini atau bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib jika enggan berbuat demikian.

JPA dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat ini seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sekiranya penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh yang ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib selaras dengan peraturan semasa yang berkuat kuasa.

“Semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993],” katanya hari ini.

Menurutnya, jumlah penjawat awam yang tidak mendapatkan vaksinasi adalah kecil dan berikutan itu JPA mewajibkan semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan untuk mengambil vaksin.

Katanya, langkah itu adalah bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

“Ini juga selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Pada 21 September lalu, JPA akan membawa cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan penjawat awam.

Jabatan itu memaklumkan, bagaimanapun kewajipan itu tidak membabitkan individu yang benar-benar mempunyai alasan kukuh untuk mendapatkan pengecualian penerimaan vaksin atas faktor kesihatan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, mencadangkan untuk mewajibkan saringan berkala ke atas penjawat awam yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat, berpendapat kos saringan berkala itu perlu ditanggung penjawat awam kerana kerajaan tidak patut dibebankan dengan perbelanjaan tambahan berkenaan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here