UPKK bagi calon 2020 dan 2021 ditangguhkan

0
18
Ujian UPKK bagi calon 2020 dan 2021 ditangguhkan ke 15 hingga 18 November

CYBERJAYA –  Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi calon 2020 dan 2021 pada 4 hingga 7 Oktober delan ditangguhkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, ujian berkenaan ditangguhkan ke 15 hingga 18 November.

Idris berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh semalam.

“Keputusan itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin selain pusat peperiksaan melakukan persiapan secukupnya.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga optimis dengan usaha kerajaan ketika ini untuk menuju sasaran imuniti kelompok.

“Jakim juga membuat ketetapan hanya petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin sahaja dibenarkan untuk bertugas di semua pusat peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan pelaksanaan UPKK berjalan lancar dan berjaya.

“Jakim sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa pandemik Covid-19 di negara ini khususnya aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan. 

“Jakim dengan kerjasama semua agensi berkaitan juga menyediakan pelan tindakan demi untuk memastikan UPKK dapat dilaksanakan dan berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK juga dibuat mengikut ketetapan Kementerian Pendidikan yang memutuskan sesi persekolahan untuk calon peperiksaan bermula pada 3 Oktober ini secara berperingkat mengikut perkembangan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here