Vaksinasi penuh penduduk dewasa dicapai penghujung Oktober ini

0
24
Zafrul Tengku Abdul Aziz

CYBERJAYA – Malaysia dijangka mencapai kadar vaksinasi 100 peratus penduduk menjelang akhir Oktober ini dan berada pada landasan pemulihan ekonomi yang baik.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan perasmian ‘The Cooler Earth Sustainability Summit’ hari ini berkata, pelan pemulihan ekonomi negara diunjurkan berkembang antara 3 hingga 4 peratus pada tahun ini.

Katanya, sebagai sokongan kepada usaha itu, kerajaan masih mempunyai peruntukan bantuan untuk melengkapkan program vaksinasi sebanyak RM300 bilion.

“Momentum pemulihan ekonomi semakin meningkat, negara berada pada landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan antara 5.0 hingga 6.0 pada tahun 2022, berdasarkan unjuran terbaru oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.

Beliau berkata, berpandukan Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang didukung sains, data dan teknologi, berserta langkah vaksinasi yang dilakukan dalam waktu singkat, adalah antara perkara yang wajar dicontohi dalam menangani isu kemapanan, terutama dalam menangani perubahan iklim.

Menurutnya, sama seperti Covid-19 yang melebarkan jurang ketidaksamaan, isu perubahan iklim juga memberi kesan kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Pakar menganggarkan bahawa tanpa adanya dasar pembendung, maka pembiayaan terkumpul bagi isu perubahan iklim untuk negara kita rata-ratanya adalah lebih dari RM400 juta setahun untuk tempoh 100 tahun dari 2010.

“Peralihan untuk menjadi ekonomi yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim bukan lagi menjadi aspirasi, tetapi juga adalah syarat mendesak untuk menghindari kerosakan yang sukar dipulihkan kepada bumi dan masyarakat kita. Kita memerlukan reformasi segera dan pendekatan menyeluruh dalam menangani ancaman ini, “katanya.

Tengku Zafrul berkata, ia memerlukan transformasi sistem ekonomi dan kewangan, serta sektor yang berkaitan dengan makanan, bekalan air dan tenaga, dengan cara yang lebih lestari, inklusif dan adil.

“Kita perlu mulai menetapkan harga dalam pelepasan karbon dan menyesuaikan lebih banyak insentif ke arah tenaga bersih dan ekonomi sekeliling, menamatkan kebebasan yang dinikmati oleh pencemar industri selama bertahun-tahun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here