VIP tiba lewat dibenarkan masuk: Masjid Putra mohon maaf

0
912
Seorang VIP dibenarkan masuk ke dalam Masjid Putra meskipun tiba lewat sehingga menyebabkan jemaah lain tidak berpuas hati

PUTRAJAYA – Pihak pengurusan Masjid Putra di sini memohon maaf di atas kejadian yang berlaku semalam apabila terdapat jemaah yang didakwa berstatus VIP atau orang kenamaan dibenarkan masuk walaupun tiba lewat.

Menurut Masjid Putra dalam satu kenyataan, kehadiran jemaah di masjid berkenaan sama ada untuk solat fardu lima waktu atau solat Jumaat adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, bagi solat Jumaat kapasiti yang ditetapkan adalah untuk 300 jemaah.

“Daripada jumlah itu, pihak masjid memperuntukkan sejumlah kuoata untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal dan memaklumkan jangkaan waktu ketibaan di masjid.

“Ia adalah bagi memudahkan pihak pengurusan memastikan jumlah kehadiran adalah bertetapan dengan kuoata ditetapkan,” katanya hari ini.

Kenyataan akhbar Masjid Putra

Semalam tular satu video berdurasi 51 saat apabila terdapat jemaah yang tidak dibenarkan masuk untuk menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan atas faktor lewat mendaftar.

Bagaimanapun secara tiba-tiba muncul seorang jemaah yang didakwa dalam kalangan VIP yang dibenarkan masuk walaupun pintu pagar telah ditutup.

Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, bagi memelihara nama baik institusi masjid, pihaknya akan berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah tanpa mengira kedudukan.

Katanya, jika terdapat sebarang isu, orang ramai boleh terus berhubung dengan pihak masjid untuk membuat aduan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here