Warga Bangladesh diculik ditemukan lemah di Kajang

0
219
Gambar hiasan

KAJANG – Polis menahan empat lelaki berhubung kes penculikan seorang lelaki warga Bangladesh yang berjaya diselamatkan selepas mangsa ditemukan dalam keadaan lemah di Bandar Teknologi di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa berusia 39 tahun itu dipercayai diculik oleh rakan senegaranya dan telah menuntut sejumlah wang daripada isteri mangsa.

Katanya, kejadian dilaporkan oleh majikan mangsa pada pukul 12 tengah malam tadi diberitahu oleh isteri yang membuat panggilan dari di Bangladesh.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa dilarikan oleh dua lelaki warga Bangladesh di kawasan Jelok Ria dan menghubungi isteri mangsa untuk menuntut sejumlah RM50,000.

“Isteri mangsa yang ketakutan melakukan transaksi tersebut ke dalam akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa bagaimanapun tidak dilepaskan dan suspek sekali lagi menuntut sejumlah wang yang sama daripada isteri mangsa.

“Bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan di hadapan sebuah kedai di TTDI Grove, Kajang kurang 24 jam aduan dibuat. Suspek membawa pasukan polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi, Kajang.

“Mangsa ditemukan di sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dan kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai serta dikunci dengan mangga.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan, kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah,” katanya.

Turut ditahan di lokasi kejadian seorang wanita yang merupakan iseri kepada salah seorang suspek.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, dan sebat jika sabit kesalahan.

Menurut Mohd Zaid, semua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dibawa ke mahkamah pada Jumaat untuk permohonan reman.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here