Zakir Naik cari calon isteri untuk anak dan menetap di Malaysia

0
522
Dr. Zakir Naik

CYBERJAYA – Penceramah terkenal, Dr. Zakir Naik semalam memuat naik ‘tawaran istimewa’ kepada wanita Islam untuk menjadi calon isteri kepada anak lelakinya, Fariq Naik.

Pencarian itu dikongsikan beliau melalui Facebooknya dengan satu infografik mengenai ciri-ciri wanita yang dicari dan butiran peribadi anak lelakinya yang berusia 27 tahun itu.

Dr. Zakir berkata, sebagai bapa dia mengharapkan seorang wanita Muslim yang berakhlak mulia untuk menjadi sumber kekuatan anaknya dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

“Sekiranya anda merupakan bapa atau saudara kepada wanita yang dirasakan layak untuk anak saya, dengan rendah hati saya memohon agar anda boleh memberi respon kepada saya bersama maklumat yang diperlukan,” katanya.

Ciri-ciri utama calon yang dicari adalah wanita yang mengamalkan ajaran Al-Quran dan Sunnah, menjauhi perkara haram, mengamalkan amalan sunnah sebanyak mungkin, berjiwa pendakwah dan akan sentiasa menyokong aktiviti dakwah bakal suami.

Syarat lain termasuk kesanggupan menjalani kehidupan yang sederhana tanpa kemewahan, fasih berbahasa Inggeris dan Arab.

Kelebihan juga bagi calon yang mempunyai Ijazah sarjana muda dalam mana-mana pengajian Islam dan penghafaz Quran.

Selain itu, Dr. Zakir juga menetapkan syarat kesanggupan kepada calon untuk menetap di Malaysia kerana Fariq kini sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pengajian usul-fekah.

Fariz yang merupakan seorang hafiz, dikenali melalui penglibatan aktif dalam aktiviti dakwah bersama bapanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here