Ziyad lewat 3 minit, alasan diberikan pegawai Malaysia tidak kukuh

0
1047
Pegawai Malaysia yang membuat rayuan untuk Ziyad sejurus penyertaannya dibatalkan. Foto Facebook Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

TOKYO – Alasan yang lemah dan tidak kukuh yang diberikan oleh pegawai Malaysia berhubung isu Muhammad Ziyad Zolkefli menjadi punca atlet lontar peluru negara itu terlepas pingat emas dan rekod dunia di Paralimpik Tokyo.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Craig Spence, rayuan Ziyad dan dua atlet lagi – Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) ditolak kerana alasan diberikan terlalu lemah.

Spence berkata, punca kemenangan itu dibatalkan kerana Ziyad lewat tiga minit.

Bagaimanapun katanya, alasan yang diberikan mereka ialah tidak mendengar pengumuman atau ia dalam bahasa yang mereka tidak faham.

“Tiga atlet itu tiba tiga minit lewat. Orang lain tiba lima minit lebih awal. Jadi ia bukan satu hukuman yang keras,” kata Spence memetik laporan AGENSI hari ini.

Sebelum ini, pelbagai versi punca kelewatan dilaporkan sebelum ini, antaranya lewat dua minit kerana menelefon ibu, kesesakan ke bilik menunggu dan hujan lebat, namun ia bukan alasan yang diberikan dalam rayuan.

Sementara itu Spence berkata, keputusan dibuat IPC adalah wajar dan tidak terlalu keras.

Ziyad merangkul emas dengan selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter, tetapi dibatalkan berikutan bantahan Ukraine kerana lewat masuk ke bilik menunggu.

Atlet Ukraine Maksym Koval diisytiharkan pemenang pingat emas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here