[VIDEO] 138 hari hafal 30 juzuk al-Quran

0
285
5 pelajar Sekolah Islamik Montessori Antarabangsa Brainy Bunch (BBIIS) yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh kurang 7 bulan menerusi program AKMAL.

CYBERJAYA – Meskipun masih dalam usia yang sangat muda, lima orang pelajar Sekolah Islamik Montessori Antarabangsa Brainy Bunch (BBIIS) berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran kurang dari tempoh tujuh bulan.

Lebih membanggakan apabila salah seorang daripada pelajar berkenaan, Imran Syakirin Muhammad Syukri, 12, berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh masa 138 hari menerusi Program Akmal Brainy Bunch Dream Tahfiz 2021 (AKMAL).

Empat pelajar lain yang berjaya bergelar huffaz ialah Syamil Al Sadat Syaraff Al Sadat, 12; Muhammad Ariiq Irfan Haniff, 12; Aariz Ad-Deen Arman, 12 dan Zulfah Alisha Zulfadhli, 13.

Setahun menempa sejarah

Imran Syakirin berkata, dia bersyukur apabila berjaya menamatkan program itu kurang dari tempoh setahun yang ditetapkan.

Berkongsi tips untuk berjaya menghafal al-Quran, katanya, supaya ilmu yang diperoleh sentiasa berkat dan mendapat manfaat, setiap pelajar perlu taat pada ustaz dan guru-guru selain ibu bapa.

Imran Syakirin

“Selain itu, saya juga sentiasa mewujudkan suasana persaingan ketika menghafal al-Quran bagi memberikan cabaran kepada diri sendiri dan sentiasa mendapat keputusan terbaik,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune selepas Majlis Khotmul Quran di BBIIS di sini, semalam.

Berkongsi perasaan yang sama, Syamil Al Sadat berkata, dia mengambil masa selama 203 hari untuk menghafaz al-Quran dan berjaya menamatkan program itu petang semalam.

“Ada yang ingat kalau kita terlibat dalam program seperti ini, setiap masa kita perlu menghafal al-Quran, sebenarnya tidak, saya bermain seperti biasa cuma apabila masuk kelas saya akan berikan fokus 100 peratus.

Syamil Al Sadat

“Pada masa sama, yang paling penting adalah sentiasa hormat ustaz dan guru-guru di sini,” katanya.

Sementara itu, Zulfah Alisha yang merupakan hafizah tunggal dalam majlis berkenaan berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran hanya dalam tempoh masa 143 hari.

Anak kedua daripada empat adik-beradik itu berkata, melalui teknik AKMAL dia mampu menghafaz kira-kira 10 muka surat al-Quran setiap hari dan khatam dalam masa yang lebih singkat.

“Saya biasanya memperuntukkan beberapa jam setiap hari di sebelah malam untuk menghafal dan waktu paling mudah untuk mengingat setiap hafalan ialah pada waktu Subuh.

Zulfah Alisha

“Alhamdulillah melalui teknik ini saya bukan sahaja dapat menghafal dengan lancar bahkan menjadikan pengalaman membaca Al-Quran dengan lebih seronok,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua BBIIS, Ustaz Ali Nurdin berkata, secara keseluruhan sebanyak 16 pelajar terlibat dalam program yang mula diperkenalkan pada Mac lalu.

Katanya, AKMAL adalah teknik hafazan yang diperkenalkan Brainy Bunch kepada pelajar dengan sasaran penguasaan bacaan dan hafazan dalam tempoh kurang daripada 12 bulan.

Ustaz Ali Nurdin

“Alhamdulillah untuk kumpulan pertama seramai lima pelajar berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh kurang dari lapan bulan.

“Insya-Allah sebelum Mac tahun hadapan, lagi 10 pelajar lagi akan bergelar hafiz muda,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here