2 anggota polis mengaku tidak bersalah terima suapan RM500

0
89
Dua anggota polis dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan empat tahun lalu

ALOR SETAR – Dua anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM500, empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Shah Erwan Kasa @ Mansor, 41, serta Andinor Zabidin, 37, membuat pengakuan itu sebaik dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di depan Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharudin

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang berpangkat koperal dan koperal sokongan polis dengan niat bersama telah secara rasuah memperoleh wang tunai sebanyak RM300 daripada seorang lelaki yang kini berusia 28 tahun.

Dua individu berkenaan yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, didakwa menerima rasuah tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lelaki berkenaan serta seorang wanita yang disyaki berkhalwat dalam kereta.

Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan pada 26 Mei 2017 kira-kira pukul 12.30 pagi di Jalan Lagenda 3, Sungai Petani di daerah Kuala Muda.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua, dua anggota polis tersebut didakwa dengan niat bersama telah menerima rasuah sebanyak RM200 daripada lelaki sama, sebagai dorongan untuk tujuan sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Jun 2017, antara pukul 9 hingga 9.30 malam di tepi tasik, Jalan Persiaran Perdana Height, Lot 88, dalam daerah Kuala Muda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap kedua-dua tertuduh dengan tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen pada 22 November 2021.

Kedua-dua tertuduh difahamkan membayar jaminan ditetapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here