Kerajaan tiada halangan terima internet satelit

0
38
Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia menerima perkhidmatan internet dan telekomunikasi melalui teknologi satelit dengan syarat perkhidmatan itu ditawarkan pada harga yang berpatutan kepada rakyat.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, keperluan perkhidmatan itu bertujuan untuk menyediakan liputan telekomunikasi kepada kawasan luar bandar terutama di kawasan tanah tinggi.

“Kerajaan memang berniat nak bagi liputan (internet) terutama kepada kawasan-kawasan luar bandar menggunakan satelit, sebab kadang-kadang kawasan berbukit-bukau ini tak ada liputan, terlindung…kadang-kadang ada kawasan ladang yang serap liputan.

“Jadi ini penting, tetapi penggunaan satelit ini mahal, saya nak maklumkan kerajaan tak pernah naikkan harga (bil telekomunikasi), kecuali dia (pengguna) nak tambah data…tetapi kebanyakannya dari segi kadar nak bayar bil, kita kekalkan harga supaya boleh bantu rakyat,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang menggunakan satelit bagi membekalkan liputan telekomunikasi dan internet di kawasan pedalaman.

Berkaitan penyediaan rangkaian 5G, Zahidi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memastikan wujud kerjasama antara syarikat telekomunikasi seperti Telekom dengan penyedia tunggal infrastruktur dan rangkaian berkenaan iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) bagi memastikan kejayaan inisiatif itu.

Sebelum ini, SKMM menyatakan agensi itu akan mengawal selia serta memantau DNB bagi menjamin semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi mempunyai akses terbuka, adil dan saksama dalam pemerolehan jualan borong perkhidmatan jaringan 5G bagi pembangunan perkhidmatan runcit berasaskan teknologi 5G.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here