7 ‘mat rempit’ tunggang motosikal secara berbahaya diburu polis

0
206
Tangkap layar mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson

PORT DICKSON – Tujuh individu yang menunggang motosikal secara berbahaya di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson sedang diburu polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, ia susulan rakaman video tular yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook.

“Video itu merakam aksi sekumpulan penunggang motosikal seramai tujuh orang yang menunggang motosikal dengan cara membongkok badan dan bersaing sesama sendiri serta membuat aksi zigzag yang dipercayai membahayakan diri sendiri dan pihak lain.

“Kejadian ini dipercayai berlaku pada 17 Oktober 2021 antara pukul 2 petang hingga 3 petang di Lebuh Raya Seremban- Port Dickson antara Kilometer 14 hingga 16 arah Port Dickson ke Seremban,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, jelasnya, polis sedang mengesan kesemua penunggang motosikal bagi siasatan lanjut yang akan dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu atau menunggang kenderaan secara melulu dan berbahaya.

“Jika sabit kesalahan, pesalah akan dikenakan tindakan penjara tidak kurang lima tahun dan denda antara RM5000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu melebihi 5 tahun.

“Orang awam yang mempunyai maklumat kejadian boleh menyalurkannya ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau menghubungi talian talian terus 06-6472222,” katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video aksi berbahaya ‘mat rempit’ itu yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook hari ini.

Aksi berbahaya itu mendapat kecaman orang ramai yang mahu kesemua mat rempit itu diberikan pengajaran yang berguna.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here