Aktiviti perhimpunan, majlis sosial berkaitan PRN Melaka dilarang hingga 27 November

0
109
Khairy Jamaluddin.

CYBERJAYA – Semua aktiviti perhimpunan, majlis sosial dan pelancaran jentera pilihan raya berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak dibenarkan berkuatkuasa mulai esok hingga 27 November depan.

Arahan itu dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes secara mendadak akibat aktiviti berkenaan.

Kata Khairy, pihaknya mengenal pasti antara punca peningkatan atau penyumbang kes serta kluster jangkitan Covid-19 berkait rapat dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak mematuhi SOP.

Beliau menjelaskan, faktor itu dikesan berdasarkan pemantauan situasi Covid-19 oleh KKM.

“Sebarang perhimpunan atau majlis sosial yang dianjurkan tanpa mematuhi SOP termasuk penjarakan fizikal yang sukar diamalkan akan meningkatkan risiko penularan jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Khairy lagi, susulan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pelaksanaan PRN Melaka pada 20 November ini, kementeriannya menjangkakan banyak perhimpunan serta majlis sosial akan diadakan melibatkan ramai individu berkumpul dari seluruh negara.

Memandangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 masih tinggi, terutama varian Delta dan peningkatan bilangan kes baharu dilaporkan, aktiviti tersebut akan meningkatkan lagi risiko penularan jangkitan dalam komuniti.

“Larangan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah subperaturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021 [P.U.(A) 293/2021] di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

“Mengikut subperaturan ini, tiada seorang pun boleh, semasa dalam mana-mana fasa yang ditetapkan, berhimpun atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan di dalam mana-mana premis di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan sama ada bagi maksud keagamaan, perkahwinan, sukan, rekreasi, sosial atau kebudayaan,” kata Khairy Jamaludin lagi.

Individu, penganjur atau organisasi yang melanggar peruntukan itu boleh dikenakan tindakan perundangan seperti kompaun atau tindakan pendakwaan di mahkamah sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here