Allahyarham Mamat Khalid wira perpaduan – Halimah Sadique

0
48
Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia akibat serangan jantung, tengah malam tadi

CYBERJAYA – Pengarah filem legenda, Allahyarham Mamat Khalid yang meninggal dunia akibat serangan jantung, tengah malam tadi disifatkan sebagai wira yang memperjuangkan agenda perpaduan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, gambaran itu dapat dilihat menerusi karya-karya garapan oleh Allahyarham sepanjang hayatnya.

Katanya, ia bukan sahaja menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia, malah, menghantar mesej perpaduan dalam kebanyakan naskhah besarnya.

“Beliau adalah seorang pengkarya dan ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

“Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Allahyarham Mamat juga begitu.

“Ada nilai kemasyarakatan, perpaduan kaum dan kebersamaan melalui karya Mamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Halimah, karya dihasilkan Allahyarham Mamat yang realistik serta dekat dengan rakyat menjadi faktor hasil kerjanya ditonton masyarakat pelbagai kaum.

“Allahyarham bukan sahaja menghasilkan karya seni yang bersifat humor, tetapi mengajak masyarakat saling menghormati, berkasih sayang, tolong menolong dan bertoleransi.

“Di situ ‘mahalnya’ sebuah karya seni apabila ia turut bercerita dengan nilai positif sehingga dikenang dalam sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mamat atas pemergian pengarah filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah itu.

“Saya berharap seluruh keluarga Allahyarham diberi ketabahan atas kehilangan ini. Marilah kita seluruh umat Islam menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

“Pemergian arwah juga adalah kehilangan besar kepada negara. Saya percaya karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” katanya.

Mamat atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung dalam perjalanan ke Hospital Slim River, Perak, pada jam 12.30 tengah malam tadi.

Isteri arwah, Hasmah Hassan ketika mengesahkan berita pemergian suaminya itu berkata, arwah dipercayai mendapat serangan jantung dan tidak sedarkan diri ketika berada di kafe miliknya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here