Anggota bomba kemalangan ketika selamatkan mangsa banjir masih tak sedarkan diri

0
718
Bomba dan orang ramai membantu mangsa ke Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba sebelum dibawa ke hospital

CYBERJAYA – Seorang anggota bomba yang hampir lemas selepas ditimpa kemalangan sewaktu dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh, Melaka petang tadi masih belum sedarkan diri.

Berita itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam laman Facebook miliknya sebentar tadi.

“Mendapat perkhabaran dukacita iaitu seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Tengah, Mohd Diya Che Jusoh, ditimpa kemalangan sewaktu dalam operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat, Ayer Keroh sebentar tadi dan masih belum sedarkan diri.

“Ayuh kita semua warga Keluarga Malaysia bersama-sama menadah doa ke hadrat Allah agar keadaan mangsa bertambah baik dan sihat seperti sedia kala,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menyeru semua pihak agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika cuaca hujan lebat melanda negara ketika ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa dikatakan sedang memasang tali di kawasan banjir berkenaan untuk membantu penduduk kampung keluar daripada kediaman masing-masing.

Pasukan bomba terpaksa terpaksa mengambil masa hampir 10 minit untuk membantu mangsa yang dipercayai pengsan ekoran arus air yang terlalu deras.

Mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke hospital menaiki Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here