Arak jenama Timah, seperti sengaja mahu tembusi pasaran pengguna Melayu

0
297
Presiden Mapim, Mohd Azmi Hamid

SHAH ALAM – Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menuntut agar lesen arak jenama Timah dibatalkan.

Presidennya, Mohd Azmi Hamid berkata, jenama itu seperti sengaja dipilih untuk mengelirukan pengguna bahawa istilah Melayu itu mesra dengan arak.

Oleh itu katanya, tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi mengelak lebih banyak istilah Melayu akan digunakan lagi selepas ini untuk arak.

“Kami berpendapat hanya dengan berusaha mendidik orang Islam menjauhi arak sahaja tidak memadai. Justeru, kami menuntut lesen arak jenama Timah dibatalkan.

“Industri arak sangat profesional kerana syarikat arak boleh berbelanja jutaan ringgit untuk memanipulasi minda masyarakat. Disebabkan itu, arak jenama baharu ini secara tiba-tiba menggunakan istilah Melayu supaya boleh menerobos pasaran pengguna Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menggesa syarikat pengeluar arak tempatan jenama Timah menukar kepada nama lain.

Penggunaan nama Timah menjadi kontroversi ekoran jenamanya dianggap berkaitan nama orang Melayu dan Islam iaitu ‘Fatimah’ namun syarikat terlibat mendakwa nama itu diambil sempena era perlombongan bijih timah semasa zaman British Malaya.

Selain itu kata Mohd. Azmi, promosi arak dengan pelbagai strategi kreatif adalah bermatlamat untuk mempopularkan budaya minum arak dan mencetuskan tabiat kebergantungan dan ketagihan kepada arak.

“Kerajaan tidak boleh membenarkan industri arak untuk menyemarak promosi arak dalam acara tahunan October Fest. Dilaporkan 45.8 peratus rakyat Malaysia peminum arak yang tegar berbanding 27 peratus di United Kingdom.

“Oleh itu, Mapim menuntut pihak berkuasa melihat soal undang-undang yang boleh mengawal industri arak ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here