Arak Timah: Wanita UMNO desak KPDNHEP batalkan kelulusan, tutup syarikat arak terlibat

0
145
Jenama arak Timah yang mencetuskan kontroversi apabila diluluskan untuk dipasarkan

CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) didesak untuk bertindak tegas terhadap isu kontroversi melibatkan arak jenama Timah dengan membatalkan kelulusan dan menutup segera syarikat pengeluar minuman keras itu.

Menurut Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim, kontroversi itu perlu dihentikan segera kerana syarikat arak tempatan itu dilihat cuba mencari peluang untuk menghina Melayu dan Islam.

“Kita wajib tentang dengan perbuatan mereka ini yang cuba memecahbelahkan kaum di negara kita

“Kerajaan perlu segera melakukan siasatan latar belakang serta ketekunan wajar (due diligence) terhadap syarikat berkenaan dan mengambil langkah tegas dengan menutup syarikat pengeluar minuman keras itu seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berasa hairan apabila permohonan untuk mendaftarkan jenama arak itu diluluskan ketika negara di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Katanya, hal itu adalah satu petanda buruk kepada kerajaan Malaysia dimana seharusnya sewaktu proses dari awal permohonan tersebut perlu ditolak.

Beliau berkata, ini kerana sememangnya nama tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dan tidak seharusnya berlaku dan mendatangkan provokasi terutamanya kepada umat Islam negara ini.u

“Wanita UMNO merasakan ini adalah secara terang-terangan untuk menyerang umat Islam dan Melayu, kerana tanpa segan silu menggunakan nama mirip wanita orang melayu iaitu nama singkatan kepada Fatimah yang juga mirip kepada nama anak Rasulullah S.A.W iaitu Saidatina Fatimah Ar-Zahrah.

“Ditambah pula syarikat tersebut menghina Melayu dan Islam dengan memaparkan label botol arak dengan seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah pada botol minuman dipercayai adalah Kapten Tristram Speedy yang juga Kapten Polis di Larut, Perak pada 1870-an yang pernah bertindak kejam terhadap orang Melayu dan Islam pada ketika itu,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Wanita UMNO bertegas agar pemantauan dan penguatkuasaan oleh KPDNHEP diperkemaskan supaya insiden seperti ‘arak Timah’ tidak berulang lagi.

Katanya, insiden itu secara tidak langsung
telah menjejaskan perpaduan kaum dan jika dibiarkan berleluasa, dikhuatiri akan memberi impak negatif kepada masyarakat, khususnya anak muda.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here