Bajet 2022: Bantuan RM2,000 untuk B40 yang mempunyai anak lebih 3 orang

0
177

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bantuan tunai sebanyak RM2,000 diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2022 bagi mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) itu diagihkan dengan peruntukan sebanyak RM8.2 bilion dan bakal memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima yang membabitkan isi rumah mempunyai tiga anak dan lebih, selain purata pendapatan bulanan di bawah RM2,500 sebulan.

“Bantuan kali ini adalah yang tertinggi berbanding sebelum ini di mana Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) hanya memperuntukkan sebanyak RM1,800.

“Bantuan tunai langsung itu ditambah baik dengan memperkenalkan BKM untuk memberi lebih tumpuan kepada mereka yang terkesan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat.

Katanya, tumpuan kerajaan adalah untuk meneruskan bantuan tunai langsung secara bersasar, memperkasa aspek pendidikan dan kesihatan awam dan terus menjana peluang pekerjaan.

“Tahun depan, inisiatif bantuan tunai langsung akan ditambah baik, kerajaan akan memperkenalkan BKM dengan beberapa pembaharuan supaya kumpulan yang benar-benar berkesan diberi tumpuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 ringgit lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Pada masa sama, katanya, bantuan tambahan sebanyak RM300 ringgit turut diberikan kepada isi rumah warga emas.

Berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zafrul berkata, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding PGK 2016 iaitu RM980 sebelum ini.

Katanya, usaha meluaskan liputan perlindungan sosial itu adalah selaras dengan komitmen kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa.

“Oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan RM200 juta.

“Secara keseluruhan, RM2.4 bilion disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440,000 isi rumah memerlukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here