Bajet 2022: Kerajaan digesa bantu lebih ramai usahawan wanita

0
68
Gambar Arkeb

CYBERJAYA – Kerajaan digesa untuk menubuhkan pusat transformasi usahawan wanita di setiap negeri sebagai usaha memperkasakan peranan wanita dalam sektor ekonomi.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kerajaan boleh menggunakan model holistik PASARNITA yang menawarkan ruang niaga dan melebarkan jaringan perniagaan usahawan terlibat.

Pada masa sama, katanya, pusat tersebut juga boleh menawarkan khidmat nasihat keusahawanan dan ruang untuk usahawan berkenaan mempamerkan produk dan jenama.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memudah cara proses pemerolehan pinjaman golongan ‘wanita tunggal’ dengan memberi kebenaran menggabung pendapatan dengan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.

“Pihak kerajaan juga perlu menggerakkan usaha menyokong secara serius dan bersepadu menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua dengan memudahkan syarat pinjaman mikrokredit untuk usahawan wanita yang menjalankan perniagaan separuh masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kerajaan menyediakan latihan vokasional atau TVET kepada wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan jaringan kerjasama bersama universiti, politeknik dan Institut Kemahiran MARA (IKM).

Sehubungan itu, katanya, langkah itu wajar
dipertimbangkan dalam Belanjawan Keluarga Malaysia 2022 dalam aspek membahagiakan wanita.

Gambar Arkeb: Usahawan memperkenalkan produk untuk dipasarkan kepada pihak pengurusan Malakat Mall semasa Hari Bersama Vendor Malakat Mall di Cyberjaya. foto-FARID JANUDIN

Dalam pada itu, Norshida turut berharap
kerajaan menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang oleh wanita melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan juga perlu serius memperluas penglibatan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua sektor.

“Kerajaan perlu mempelbagaikan inisiatif-inisiatif dalam membuka ruang yang lebih fleksibel kepada wanita supaya sumbangan dapat salurkan kepada yang memerlukan di peringkat bawah.

“Kerajaan juga perlu memberikan ruang yang lebih holistik kepada wanita dalam sektor pekerjaan supaya sumbangan mereka turut dapat disalurkan dalam pembangunan negara,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here