Bajet 2022: Kerajaan digesa tambah jumlah wajib pengarah wanita dalam syarikat awam

0
71
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim

CYBERJAYA – Keputusan kerajaan yang mewajibkan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dilantik bagi semua syarikat awam mulai 1 September 2022 dilihat sebagai langkah yang sangat baik walaupun agak lewat pelaksanaannya.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, bagaimanapun jumlah komposisi wanita perlu ditambah dengan sekurang-kurangnya dua kerusi diberikan.

“Kita sangat bersetuju apabila kerajaan menetapkan dengan mewajibkan sekurang-kurangnya seorang Pengarah wanita bagi semua syarikat awam mulai 1 September 2022.

“Perkara sepatutnya perlu bermula lebih awal lagi dan bilangan komposisi perlulah sekurang-kurangnya 2 kerusi dan ianya tidak hanya terikat bagi syarikat awam malah terbuka untuk mana-mana syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Norshida berkata, pihaknya turut menyambut baik pembentangan Belanjawan 2022 khususnya berhubung kebajikan wanita.

Katanya, insentif untuk majikan menampung sebahagian gaji bulanan selama 12 bulan bagi mengambil pekerja wanita yang tidak bekerja melebihi setahun, ibu tunggal dan suri rumah adalah dipuji.

Norshida berkata, langkah itu mampu memberikan ruang yang luas terhadap golongan wanita untuk diberikan kerja bagi mampu mengurangkan bebanan tanggungan keluarga.

“Pemerkasaan dalam sektor keusahawanan dan ekonomi juga dipuji di mana kerajaan telah mula melihat kegigihan usaha usahawan wanita.

“Dan kita menyokong sepenuhnya di mana peruntukan RM5 juta diberikan kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi membantu penyertaan usahawan-usahawan wanita dalam dunia keusahawanan dan tambahan RM230 juta untuk membantu dana pembiayaan menerusi program DANANITA dibawah MARA dan TEKUNITA dibawah TEKUN Nasional,” ujarnya.

Selain itu, katanya, Program MyKasih Kapital pula mampu membantu wanita yang bekerja dari rumah dan insentif itu sangat diperlukan bagi menyuntik modal asas perniagaan dengan program bimbingan.

Beliau berkata, pelepasan cukai pendapatan individu sebanyak RM3,000 bagi pembayaran yuran taska dan tadika juga disambut baik bagi mengurangkan kos bebanan sara hidup keluarga.

“Isu seksual, isu keganasan terhadap wanita, isu rumah tangga, dan pertambahan rumah perlindungan khas wanita juga diketengahkan dan ditanggani oleh kerajaan melalui peruntukan Bajet 2022 adalah tepat dalam memastikan kes jenayah terhadap wanita dapat dilindungi dengan proaktif dan berkesan dan ini mampu membanteras isu tidak bermoral dalam negara.

“Dari segi kesihatan, kita bersyukur dengan cadangan Wanita UMNO diangkat mengenai risiko kesihatan dan isu keciciran sekolah. Pengedaran Kit percuma asas kesihatan diri kepada 130,000 remaja wanita kategori B40 akan menerima manfaat yang berguna daripada hasil ini dan mampu membina karater diri dengan yakin untuk ke sekolah,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here