Belajar guna telefon pintar dahulu sebelum bayar pakej umrah

0
162
Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali

CYBERJAYA- Belajar menggunakan telefon pintar antara persediaan yang perlu diberikan keutamaan oleh bakal jemaah umrah selain syarat-syarat yang lain seperti kebiasaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ia kerana hampir semua pergerakan di Mekah memerlukan peggunaan aplikasi untuk mendaftar masuk di setiap lokasi.

“Kali ini banyak aktiviti di sana memerlukan penggunaan aplikasi, paling tidak pun para jemaah mesti ada peranti telefon pintar sendiri.

“Dari segi penggunaannya, mungkin perlu dirujuk kepada orang yang lebih muda sekiranya tidak tahu menggunakan telefon.

“Ini kerana, contohnya aktiviti tawaf, solat lima waktu di masjid, semua perlu tunjuk permit dan kad vaksinasi pada telefon masing-masing.

“Itu yang perlu kita tahu dan terima dulu sebelum kita membayar (caj umrah) dan meneruskan perjalanan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Selain itu, Ahmad Ruzman turut mengingatkan orang ramai supaya memilih ejen pelancongan yang mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak berwajib.

“Memang ada banyak ejen pelancongan, ada ribuan daripada mereka tetapi yang melesenkan umrah tidak terlalu banyak.

“Jadi pilihlah yang ada lesen, kemudian kita perlu tengok kepada penerbangan yang terus, kerana travel bubble ini tidak boleh ada penerbangan transit di mana-mana,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihati orang ramai agar tangguh dahulu ibadah menunaikan umrah jika tidak bersedia dan tidak mahu berdepan dengan syarat penetapan SOP yang ketat kerana ia akan pasti dilonggarkan dalam masa mendatang.

“Kalau kita rasa tidak bersedia atas apa jua sebab, lebih baik kita tunggu dulu sekejap dan tengok keadaan, saya yakin keadaan akan semakin bertambah baik.

“Cuma yang bagusnya pergi awal ini, jemaah tidak ramai lagi, agak lapang sedikit tempat untuk kita bertawaf yang bagusnya orang tidak ramai.

“Tetapi mungkin ada peraturan-peraturan ketat yang perlu kita patuhi,” kata Ahmad Ruzman lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here