Belanjawan 2022: Cecair nikotin dalam vape dicadang dikenakan cukai

0
18
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, langkah itu sebagai memupuk ke arah gaya hidup sihat rakyat.

“Pada masa sama kerajaan juga bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan program Agenda Nasional Malaysia Sihat sebagai usaha memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.

Sementara itu, katanya, kerajaan turut bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka.

“Sebagai tambahan, sukacita diumumkan kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta ringgit untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here