Bila monorel Putrajaya akan siap soal Senator dari Putrajaya

0
61
Antara infrastruktur monorel di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya hari ini menarik perhatian Dewan Negara apabila bangun bertanya mengenai projek monorel di Putrajaya.

Bagaimanapun pertanyaan Mohd Hisamudin kepada Datuk Henry Sum Agong gagal dijawab dengan baik oleh Timbalan Menteri Pengangkutan itu.

Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya

“Kalau belum siap akan terus diusahakan cuma, mungkin ambil masa, saya tiada tarikh-tarikh dan akan dijawab secara bertulis,” kata Henry di Dewan Negara hari ini.

Melihat situasi itu, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim mencadangkan agar Henry membawa perkara itu ke peringkat kementerian dan memberikan jawapan bertulis.

“Setiausaha tolong catat agar jawapan itu betul-betul ada,” kata Rais bagi memastikan jawapan pertanyaan tentang monorel Putrajaya itu disediakan secara bertulis.

Mohd Hisamudin dalam pertanyaan ingin penjelasan mengenai monorel Putrajaya kerana penduduk Putrajaya semakin padat dan tertunggu-tunggu kemudahan pengangkutan awam itu.

Untuk rekod, projek monorel Putrajaya telah tertangguh sekian lama walaupun infrastruktur monorel sudah dibina seperti landasan, jambatan dan juga terowong.

Situasi berkenaan mengakibatkan selepas 25 tahun,  pusat pentadbiran kerajaan itu belum mempunyai sistem pengangkutan awam yang teratur dan sempurna.

Pada Januari 2020, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad pernah menyatakan projek monorel Putrajaya yang sebelum ini ditangguhkan akan diteruskan dan dijangka siap pada 2025.

Menurut Khalid, pembinaan laluan monorel itu bukan hanya di Putrajaya, malah melangkaui luar kawasan membabitkan jajaran baharu terdiri daripada Cyberjaya, Bangi dan Kajang.

Mengikut perancangan asal, monorel Putrajaya dicadangkan mempunyai dua aliran, satu sepanjang 12 kilometer (km) dengan 17 stesen dan satu lagi sepanjang 6 km dengan enam stesen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here