BN akur dikompaun, tapi tegaskan majlis diadakan di KL bukan Melaka

0
135
BN dikompaun RM10,000 oleh KKM selepas melanggar SOP PRN Melaka

CYBERJAYA – Barisan Nasional (BN) akur dengan kompaun yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan mengadakan majlis pelancaran jentera parti, semalam.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai parti yang berpegang dan patuh kepada prinsip undang-undang, BN akan membayar kompaun yang dikenakan.

“BN menghormati arahan Menteri Kesihatan untuk tidak mengadakan sebarang perhimpunan yang berkaitan dengan pilihanraya.

“Bagaimanapun pada hemat BN arahan tersebut berkaitan dengan perhimpunan di Melaka. Maka majlis pelancaran jentera BN yang sepatutnya diadakan di Melaka telah dipindahkan ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pemilihan lokasi di WTCKL dibuat memandangkan Kuala Lumpur sudah pun memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membolehkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti kehadiran 50 peratus daripada keluasan dewan acara.

Malah, katanya, majlis pelancaran di dalam Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam turut mengambil kira panduan SOP berkenaan dengan kapasiti jemputan.

Bagaimanapun, katanya, pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihaknya.

Semalam, KKM mengenakan kompaun RM10,000 terhadap BN susulan majlis pelancaran jentera parti yang didapati melanggar SOP ditetapkan.

Menerusi SOP terkini berkaitan PRN Melaka bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021 sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN termasuklah majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here