Cemburu: Suami maut di tangan isteri dalam pergaduhan

0
594

CYBERJAYA – Seorang lelaki berusia 45 tahun maut di tangan isteri dalam pertengakaran dipercayai akibat cemburu di Kampung Laksamana Batu Caves, di sini.

Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam semalam itu dikatakan berlaku dalam pergaduhan apabila mangsa menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed dalam kenyataan hari ini berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan telah mengambil sebilah gunting untuk menyerang suspek.

Bagaimanapun katanya, suspek telah bertindak balas menikam mangsa dengan besi kaki payung di bahagian perut.

“Akibat tindakan tersebut, mangsa rebah dan terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah dan meninggal dunia.

“Kita menerima panggilan kira-kira pukul 12.35 tengah malam daripada jiran mangsa yang memaklumkan berhubung kejadian itu,” katanya.

Dalam pada itu, Zainal Mohamed berkata, pihaknya telah menemukan senjata yang digunakan suspek untuk menikam mangsa di bahagian belakang rumah suspek.

Ujar beliau, wanita berusia 26 tahun turut ditahan dan direman tujuh hari untuk disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Motif kejadian adalah kerana cemburu. Bagaimanapun, bedah siasat akan dijalankan esok selepas laporan ujian Covid-19 diperoleh.

“Sekiranya terdapat maklumat tambahan dari orang awam bolehlah berhubung dengan pegawai penyiasat dalam kes ini, Asisten Superintenden Agilan a/l Iswaran di talian nombor 03-61262222 / 019-5230801,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here