Ceroboh perairan negara: Malaysia panggil Duta Besar China

0
70
Wisma Putra

CYBERJAYA – Malaysia memanggil Duta Besar China susulan pencerobohan kapal daripada negara itu termasuk kapal penyelidikan di dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia di luar pesisir Sabah dan Sarawak, semalam.

Menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan, duta tersebut itu dipanggil untuk menyatakan pendirian dan bantahan terhadap keberadaan kapal tersebut.

“Keberadaan dan aktiviti kapal-kapal tersebut adalah bertentangan dengan Akta Zon Ekonomi Eksklusif 1984 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (KUUL) 1982.

“Pendirian dan tindakan konsisten Malaysia adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa, demi mempertahankan kedaulatan dan hak kedaulatan di dalam perairan negara,” katanya semalam.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia juga sebelum ini pernah membantah pencerobohan oleh kapal-kapal asing yang lain ke dalam perairan negara.

Katanya, dalam menentukan pendirian dan tindakan yang diambil oleh Malaysia berhubung isu Laut China Selatan yang kompleks dan melibatkan hubungan antara negara, kepentingan negara akan terus dijadikan sebagai asas utama.

Sehubungan itu, tegasnya, Malaysia mengulangi pendirian bahawa semua perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman dan konstruktif selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat termasuk KUUL 1982.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here