
CYBERJAYA – Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di seluruh dunia kini melepasi 234.5 juta berikutan dengan setengah juta kes baharu dikesan dalam tempoh 24 jam lepas.
Data terbaharu Johns Hopkins University itu menunjukkan Amerika Syarikat kekal negara paling teruk terjejas dengan 43.6 juta kes.
Ini diikuti India dengan lebih 33.7 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.4 juta kes.
United Kingdom, Rusia, Perancis dan Turki antara negara yang mencatatkan lebih 7 juta kes.
Argentina catat angka melebihi 5 juta diikuti Colombia serta Sepanyol yang semakin hampir kepada jumlah tersebut.
Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka tertinggi kes Covid-19 dengan menghampiri 4.2 juta kes.
Ini diikuti Filipina dengan lebih 2.5 juta kes, Malaysia lebih 2.2 juta kes, Thailand 1.6 juta kes, manakala Singapura merekodkan lebih 99,000 kes.
Sementara itu, angka kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia kini melebihi 4.79 juta.