DAP Melaka nafi akan mengadap Agong hari ini, Norhizam ini siapa?

0
498
Bekas ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong memaklumkan PH tidak ada membangkitkan isu untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong dan pihaknya tahu tidak boleh mengadap Agong tanpa melalui proses protokol yang betul.

MELAKA – Semua 11 bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Melaka dan empat bekas ADUN yang menyokong parti itu tidak akan mengadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Bekas ADUN Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, kenyataan dibuat beks ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee bersifat dangkal memandangkan perkara itu tidak pernah dibincangkan bersama pimpinan PH negeri.

“Merujuk kepada pengumuman Norhizam bahawa ADUN PH dan empat orang ADUN yang mengisytihar juga sokong kerajaan negeri akan mengadap Agong, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari (juga) telah menafikan perkara ini.

“Norhizam ini siapa? PH tidak ada membangkitkan perkara ini dan kita tahu tidak boleh mengadap Agong tanpa melalui proses protokol yang betul.

“Saya ingin menegaskan bahawa Norhizam harus berhenti mencemarkan nama baik PH, kerana bukan semua ADUN PH menerimanya sebulat suara, jangan juga bermimpi DAP akan terima dia sebagai rakan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani hari ini.

Semalam, Norhizam memaklumkan semua ADUN Melaka yang menyokong PH termasuk empat ADUN yang mengumumkan hilang keyakinan terhadap ketua menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Beliau berkata, pertemuan itu ekoran ketidakpuasan hati terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Bagaimanapun, ketika ini Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong berada di London dan dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober 2021.

Mengulas lanjut Chee Leong, beliau memberi amaran kepada Norhizam untuk tidak mengambil kesempatan dengan krisis politik yang berlaku di negeri itu.

“Saya beri bagi amaran keras kepada beliau, ‘jangan menangguk di air keroh’ dan kucar kacirkan situasi politik yang sedang berlaku di Melaka ketika ini.

“Beliau harus bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat tanpa makluman PH dan jangan sampai dia jadi (lagi) bahan ketawa dunia,” katanya.

Isnin lalu, Mohd Ali bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Ke-14 berkuat kuasa Isnin lalu, perkara itu diumumkan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here