DAP tolak Norhizam sebagai calon PRN Melaka

0
1393
Datuk Norhizam Hassan Baktee

MELAKA- Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti itu menolak bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Guan Eng memaklumkan perkara itu akan dibawa pada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) namun, beliau tidak menyatakan sebarang alasan penolakan Norhizam sebagai calon PRN Melaka.

“Ada yang tanya dan saya dengan tegas menyatakan DAP tolak sama sekali bekas ADUN Pengkalan Batu sebagai calon dalam PRN negeri akan datang.

“Saya tidak mahu sebut (alasan), tidak perlu pergi pada asal usulnya semua pun tahu, DAP tetap tidak terima dia sebagai calon dalam PRN negeri,” katanya dalam sidang media di pejabat DAP Melaka hari ini.

Norhizam yang sebelum ini menang pada Pilihan Raya Umum (PRU)14 atas tiket DAP mengumumkan menjadi calon Bebas sekaligus memberi sokongan kepada UMNO untuk membentuk gabungan kerajaan baru di negeri itu pada Mac tahun lalu.

Beliau mengambil tindakan sama apabila bersama tiga lagi bekas ADUN mendakwa hilang kepercayaan kepada kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga hilang majoriti.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, PH komited unuk memastikan mandat rakyat dikembalikan pada PRN ini dan kekal menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

“PH menyatakan sokongan kepada Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri dan saya harap tidak ada apa-apa kesangsian tentang perkara ini.

“Ini bukan hanya daripada DAP sahaja tetapi parti komponen yang lain kerana Adly menjalankan tugas yang baik,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here