Dua pegawai SPRM didakwa tuduhan menerima wang untuk bantu ‘setel’ kes

0
117
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU- Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima wang tunai sebanyak RM40,000 bagi membantu seorang penjawat awam menyelesaikan kes yang disiasat agensi tersebut.

Amir Izham Shahak, 32, yang bertugas di SPRM Cawangan Kluang, dan Wan Kamarul Za’im Wan Mansor, 34 bertugas di SPRM Johor Bahru, didakwa menipu seorang penguat kuasa berusia 35 tahun dengan meminta wang tunai RM40,000 kononnya untuk menyelesaikan kes yang disiasat SPRM Johor ke atas lelaki terbabit.

Amir mengaku bersalah manakala Wan Kamarul mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan Benut, Kampung Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, pada pukul 7.57 malam, 14 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala Amir Izham diwakili peguam, Mohd. Salleh Togimin sementara Wan Kamarul Za’im pula diwakili Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias.

Hakim membenarkan jaminan RM7,000 terhadap kedua-dua tertuduh dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah selain memutuskan keputusan terhadap Amir Izham akan dilakukan pada 24 November ini, manakala sebutan semula kes tertuduh kedua juga pada hari sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here