DUN Melaka dibubarkan, mandat dikembalikan kepada rakyat

0
85
Speaker Dewan Undangan Negeri  Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (kanan)

MELAKA – Akhirnya mandat dikembalikan kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut politik yang berlaku di Melaka apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan berkuatkuasa 4 Oktober.

Speaker Dewan Undangan Negeri  Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam telah bersetuju untuk membubarkan DUN Melaka.

Ab Rauf berkata, Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah mengutuskan surat kepada Mohd Ali selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri semalam.

“Susulan daripada sidang media tersebut, Ketua Menteri Melaka telah mengutus surat kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka untuk memaklumkan bahawa empat orang Ahli ADUN telah hilang kepercayaan kepada Ketua Menteri seterusnya pada masa yang sama meminta perkenan Mohd Ali untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas.

“Sehubungan itu, Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Keempat Belas pada 4 Oktober 2021 (Isnin),” katanya.

Menurut Ab Rauf, Proklamasi Pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka yang Keempat Belas akan diwartakan pada hari ini  (5 Oktober 2021).

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here