Enggan pulangkan, polis sita kereta kerajaan negeri digunakan Norhizam

0
708
Norhizam sebelum ini didakwa enggan memulangkan kereta rasmi kerajaan negeri selepas DUN Melaka dibubarkan

MELAKA – Kereta rasmi kerajaan negeri yang sebelum ini didakwa enggan dipulangkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dirampas oleh polis hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, rampasan itu dibuat pihaknya susulan laporan polis diterima membabitkan salah guna kenderaan rasmi kerajaan negeri secara tidak jujur.

Katanya, Kereta jenis Toyota Camry berwarna hitam itu dirampas pasukan polis di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak, jam 11.20 pagi semalam.

“Semalam, polis membuat permohonan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh bagi mengeluarkan waran geledah untuk mengesan dan merampas barang kes.

“Susulan itu sepasukan polis merampas Toyota Camry terbabit bersama anak kunci kereta, kad Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Datuk Norhizam,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Beliau berkata, laporan polis dibuat oleh seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengatakan kenderaan terbabit tidak dipulangkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini seramai lima saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Mereka ini terdiri daripada kakitangan SUK dan lebih ramai saksi yang akan dipanggil termasuk Datuk Norhizam.

“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengetahui bagaimana kereta itu boleh diletakkan di lokasi itu dan apa kaitan dengan pemilik lot tempat letak kereta,” katanya.

Abdul Majid berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here