
CALIFORNIA – Syarikat Facebook hari ini mengumumkan menukar nama korporatnya kepada Meta sebagai sebahagian daripada penjenamaan semula dibuat syarikat tersebut.
Bagaimanapun jenama Facebook akan kekal menggunakan nama berkenaan untuk media sosial.
Pada masa sama, Meta juga bertanggungjawab terhadap jenama Instagram, WhatsApp dan Messenger.
Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg berkata, penjenamaan semula itu dibuat selepas syarikat gergasi itu akan memberi fokus kepada ‘metaverse’ iaitu gabungan virtual dan teknologi ‘augmented reality’.
Katanya, masa hadapan internet akan menuju ke arah virtual dan Meta yakin akan mencapai sasaran seramai 1 bilion pengguna sebelum akhir dekad ini.
“Kita yakin Metaverse akan menjadi pengganti kepada internet mobile.
“Melalui teknologi ini, kita juga akan dapat merasa kehadiran orang yang kita ingin berhubung seperti di sisi walaupun mereka jauh.
“Kita juga dapat berkongsi kegembiraan dalam suasana yang penuh mengasyikkan,” katanya memetik laporan CNBC hari ini.